Terima Kasih Budi, "Thank You" Bahasa

Pada suatu zaman dahulu ada dua orang rakan yang bernama Budi dan Bahasa.  Budi keturunan jawa manakala Bahasa pula dari keturunan yang bercampur-campur Melayu ada, Cina ada, India juga ada, pendek kata semua ada dan memang boleh dianggap Bahasa sebagai keturunan 1 Malaysia.
Budi dan Bahasa berkawan baik seperti kata pepatah bagai isi dengan kuku atau bagai irama dengan lagu seperti kata Seniman Tan Sri P Ramlee. Tanpa Budi rosaklah Bahasa dan tanpa Bahasa sukar Budi untuk difahami.

Budi ini sangat suka berbudi kepada semua insan yang ditemuinya tanpa mengira pangkat, darjat mahupun keturunan kerana satu prinsip yang dipegang oleh Budi selama ini iaitu “Yang bulat itu kendi, yang merah itu saga, Yang indah itu budi yang cantik itu bahasa” dan juga sentiasa memupuk nilai-nilai murni di dalam dirinya agar silratulrahim dapat dieratkan dan kasih sayang sesama manusia sentiasa terbina.  

Manakala Bahasa pula mempunyai kemampuan untuk bercakap dalam pelbagai bahasa. Dia menguasai hampir kesemua bahasa yang terdapat di dalam dunia namun dia sentiasa merendah diri walaupun dia menguasai tahap tertinggi bahasa yang dipelajarinya kerana baginya kita sebagai manusia mesti bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah dan kita mesti sentiasa mentaatinya walau siapapun kita. Bagi Bahasa juga kita mesti celik akal dan hikmah iaitu luas pengetahuan agar segala keputusan yang kita buat adalah rasional agar kebenaran mudah untuk kita tegakkan. 

  
Pada suatu hari, sebuah institut nun jauh di Shah Alam ingin mengadakan suatu kempen tetapi tidak tahu kempen apakah yang paling sesuai maka diadakan suatu kempen iaitu kempen mencari idea untuk berkempen. Nampak pelik tetapi itulah yang dianjurkan yang mana tujuan sebenar institut tersebut adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang hal ehwal semasa dan juga hal ehwal berkaitan komuniti mereka. Pertandingan ini terbuka ke seluruh pelosok nusantara dari timur hingga ke barat dari utara hingga ke selatan.    

Untuk pengetahuan Budi dan Bahasa tinggal nun di pelosok nusantara di kampung yang dipanggil Kampung Murni yang agak jauh dari institut tersebut. Disebabkan oleh keperosokan kawasan kediaman mereka maka sukar untuk mereka menerima apa-apa berita tetapi bak kata pepatah bagai sirih pulang ke ganggang. Salah seorang warga institut di Shah Alam itu pulang ke Kampung Murni untuk memberitahu khabar gembira kepada orang kampungnya tentang Pertandingan Kempen Untuk Berkempen tersebut di dalam satu mesyuarat JKK Kampung tersebut,

Semasa kempen tersebut Tok Ketua selaku penghulu kampong tersebut bersuara “nampaknya pertandingan ini suatu peluang untuk kita menghantar wakil kita untuk ke institut tersebut, di tanah inilah yang bakal melahirkan ribuan graduan yang bakal membantu Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020 dan saya mohon dua orang untuk ke sana untuk memberikan cadangan kepada mereka apa yang perlu mereka kempenkan…”. Dua orang rakan baik ini berpandangan dan terus mengangkat tangan tanda setuju dan disokong dengan sokongan penduduk kampung. 

Malam tersebut mereka berfikir apakah idea yang boleh mereka kempenkan dalam membantu institut tersebut melahirkan graduan cemerlang dengan 31 ciri-ciri model; graduan terbaik. Setelah berfikir panjang mereka bersetuju membawa idea “Kempen Budi Bahasa Budaya Kita” kerana bagi mereka graduan yang terbaik perlu mempunyai budi bahasa yang baik kerana mereka adalah cermin kepada orang luar.

Tanpa berlengah mereka ke institut tersebut dan mempersembahkan idea kempen mereka dan sesungguhnya tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu, idea mereka dipilih sebagai idea kempen untuk institut tersebut. Mereka telah dianugerahkan dengan segulung ijazah kehormat kedoktoran yang membawakan panggilan Dr kepada mereka iaitu Prof Dr Budi dan Prof Dr Bahasa.

Kini setelah hampir 50 tahun idea kempen itu dibawa namun jasa mereka dalam mementingkan budi bahasa dan nilai-nilai murni di dalam setiap orang graduan yang dilahirkan tidak dilupakan. Walaupun kini institut tersebut telah bergelar universiti, perkara ini tetap menjadi perkara pokok di dalam amalan mereka seharian. Sesungguhnya budi bahasa budaya kita tanpa budi rosaklah lagu tanpa bahasa pincanglah irama. Terima Kasih budi, “thank you” bahasa. 
 
P/S: Esei ini telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan esei sempena Kempen Budi Bahasa Budaya Kita peringkat UiTM anjuran Pusat Kebudayaan...alhamdulillah. 


Comments

SHaRKFiQ SSM said…
gongxi2, crite nih best, tp yg tyme senang2 je dpt Prof Dr, yu yg cm pelik.. hehe;)

Popular posts from this blog

Lirik Pak Ude

Ya Hafizu Ya Syafi, Wahai Yang Menjaga Dan Yang Menyembuhkan, Jagakanlah & Sembuhkanlah

Kolej Matrikulasi Perlis