Nostalgia Seorang Aku


Pejam celik pejam celik dah hampir 3 tahun aku belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam di  Shah Alam yang diberi nama Universiti Teknologi MARA. Aku sebenarnya berasal dari Ipoh namun Shah Alam sudah menjadi rumah kedua buatku. Bayangkan sahaja sewaktu cuti semester, aku terpaksa bercuti di Shah Alam disebabkan untuk mengikuti program-program yang diadakan di Universiti dan juga dalam menjalankan tugas sebagai wakil pelajar untuk berkhidmat kepada universiti yang dicintai ini.

Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS)
Di pagi hari seawal 8.30 pagi aku akan menuju ke Fakulti Perakaunan yang berpusat di Menara Sultan Abdul Aziz Shah atau SAAS untuk mengikuti kuliah dan kelas dan sebelum ke kelas biasanya aku akan bersarapan di Medan Selera Seksyen 2 dan antara juadah sarapan aku tentu sahaja Nasi Lemak ataupun Roti Canai sambil menikmatinya bersama teh tarik. Makanan ruji rakyat Malaysia rasanya.
Medan Selera Seksyen 2 Shah Alam
 
Kelas kebiasaannya akan tamat pada jam 12.30 tengahari dan sudah tentu perut terasa lapar dan perlu mencari juadah untuk makan tengahari. Untuk kehidupan seorang ‘student’ lelaki di Shah Alam, Seksyen enamlah yang menjadi destinasi tumpuan tatkala matahari sudah berada tegak di kepala. Apatah lagi kami pelajar lelaki yang rata-rata kurang berpengalaman dalam bidang masak-memasak, sudah nasib badan belum ada ‘orang rumah’ yang menjaga makan minum kami. 
Seksyen 6 menjadi "orang rumah" tatkala tengahari

Dan pada waktu petang pula aku akan kembali ke fakulti untuk menyambung kelas dan kuliah. Itulah rutinnya seseorang yang bernama aku pada setiap hari di waktu perkuliahan. Manakala di malam hari ataupun hujung minggu pelbagai destinasi menarik di Shah Alam bakal menjadi tumpuan. 
Plaza Alam Sentral

Banyak destinasi menarik yang boleh dilawati apatah lagi buat pelajar yang tidak suka duduk diam seperti aku. Kalau terasa diri ingin berkaraoke, Ole-Ole bakal menjadi tumpuan, orang kata “at least” dapat menenangkan fikiran setelah berhari-hari menatap objek bernama buku. Andaikata hati ingin menonton wayang, Jaya Jusco Bukit Raja sedia menanti, Mahu main Go Kart? Kan ke di Stadium ada. Nak cari barang-barang elektronik dan perkakasan computer, sudah tentu Plaza Alam Sentral lokasi terdekat mendapatkannya dengan harga yang berpatutan. Anda mahu main tenpin bowling?  Ada sahaja di situ dan juga di Ole-ole. Tepuk dada tanya fikiran, bagaimanakah anda ingin menghiburkan diri anda.  Bagi pelajar wanita yang ingin ber’shopping’ pula, kawasan sekitar Plaza Alam Sentral (PAS), SACC dan PKNS menjadi lokasi yang boleh menjadi tempat untuk sakan ber’shopping’.

Tatkala malam mulai mendatang tidak bermakna Shah Alam tiada lagi tempat untuk anak-anak muda khususnya pelajar menghabiskan masa menghiburkan diri selepas berharian membaca buku teks di meja “study”. Kawasan lampu limpah I-City sentiasa menanti apatah lagi dengan kawasan membeli belah barang pelbagai aksesori di UpTown pastinya menggamit memori.
Kawasan Lampu Limpah I-City Setiasa Menerangi Kesuraman Akibat Tiadanya Mentari

Namun begitu bila kita katakan mencari ketenangan bagi seorang pelajar tidak bermakna hanya dapat dicari di kawasan yang disebutkan tadi sahaja kerana ketenangan yang hakiki terletaknya di rumah Allah, sebuah masjid biru yang dinamakan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah ini. Disinilah rumah Allah, disinilah ibu segala ketenangan bisa dicari kerana segala ketenangan adalah milik yang Esa. Tatkala memikirkan hiburan keduniaan semata-mata jangan terleka bahawa ada ketenangan jiwa yang mententeramkan jiwa oleh  pencipta yang maha agung.
  Masjid Biru Rumah Allah Tempat Mencari Ketenangan Jiwa

Bukan satu rumah Allah di Bandaraya Shah Alam tetapi beribu, yang menjadi pertanyaan sejauh manakah kita sanggup berjalan sebatu dalam mencari ketenangan yang sebegitu. Andaikata di pagi hari kita menghabiskan waktu dengan Go-kart, tenpin bowling, mahupun karaoke suara menusuk kalbu maka apakah salahnya mencari masa sedikit dalam beribu untuk hadir ke rumah Allah untuk mengetuk iman yang ada di dalam hati bagi seorang pelajar yang bergelar mukmin. Kita belajar di Shah Alam bukan sahaja sekadar menuntut ilmu tetapi juga belajar tentang bagaimana terhasilnya ilmu dari Allah, Tuhan yang satu. Nostalgia kita di Plaza Alam Sentral, Ole-ole, Uptown dan sebagainya telah kita abadikan kini waktunya kita mengabdikan diri kepada tuhan, maha pemudah cara dan juga maha pemberi ketenangan di dalam jiwa.  

Begitulah hidup seorang aku saban hari namun rasa jemu langsung tidak terlintas di hati kerana Shah Alam bandarayaku. Mungkin bila aku sudah bergelar seorang graduan kelak, kehidupan di sinilah bakal menjadi pengalaman hidup yang tidak dapat dilupakan dan cukup mendewasakan kerana kata orang tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bercinta, bukan sahaja mencari cinta sesama insan tetapi juga tempat dimana cinta kepada ilmu untuk penerajuan anak bangsa, agama dan negara. Inilah dia nostalgia seorang aku di Bandaraya Shah Alam Bandarayaku.

PS:Alhamdulillah esei inilah yang telah memenangkan aku di dalam Pertandingan Esei Ulang Tahun Ke 10 Shah Alam walaupun sekadar saguhati aku bersyukur dan dari 47 esei yang dipertandingkan  aku menduduki tempat ketujuh dan hampir kesemua pemenang yang hadir pada hari penyampaian hadiah untuk esei ini adalah warga yang hampir2 emas, so need to learn from them. Diharapkan aku x sekadar berhenti di sini tetapi meneruskan lagi minat aku ni, skang ni tengah tunggu result dari BERNAMA pulak.....harap2 menang jugak, kalau kalah cuba lagi. Ai jangan2 kang bakal akauntan jadik penulis berita pulak aku nih....he3. Karam Singh Walia melaporkan untuk TV3 =D

Comments

SHaRKFiQ SSM said…
gongxi gongxi..
thanks for sharing the "happiness"

rezeki2~

Popular posts from this blog

Lirik Pak Ude

Ya Hafizu Ya Syafi, Wahai Yang Menjaga Dan Yang Menyembuhkan, Jagakanlah & Sembuhkanlah

Apa sebenarnya Skandal Enron @ Enron Scandal???